KOTA KINABALU, 23 September – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh dalam menentukan siapa yang dibenarkan masuk ke negeri ini.
Hajiji berkata, tindakan itu adalah berpandukan maklumat daripada pihak keselamatan dan agensi tertentu.
“Kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak untuk memastikan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.
“Namun, maklumat daripada pihak keselamatan dan agensi tertentu amat penting sebelum tindakan diambil,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Kedai Jujur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini hari ini.
Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ahli perniagaan, Datuk Albert Tei yang mendakwa dihalang memasuki Sabah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.
Albert atau nama penuhnya, Datuk Albert Tei Jiann Cheing, datang ke Sabah untuk hadir di mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah berkaitan isu permohonan lesen cari gali mineral yang dijadual di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Selain Albert, dua lagi tertuduh dalam kes itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.