KOTA KINABALU, SABAH – Daerah-daerah dalam negeri ini dibahagikan mengikut LIMA (5) Zon dengan kebebasan merentas daerah bermula esok, 1 Oktober 2021 (Jumaat).
Kerajaan Negeri Sabah telah membahagikannya seperti berikut:
Zon 1 – Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud.
Zon 2 – Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.
Zon 3 – Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran.
Zon 4 – Lahad Datu dan Kunak.
Zon 5 – Keningau, Tambunan dan Tenom.
Manakala, Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan adalah dikategorikan sebagai daerah masing-masing (stand alone district).
“Ini disebabkan daerah-daerah ini masih belum mencapai kadar 60 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa…
“Selain itu, sektor ekonomi dan sukan yang dibenarkan kini boleh beroperasi bermula seawal jam 6 pagi hingga 10 malam,” jelas beliau dalam sebuah kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata kumulatif penduduk Sabah yang telah menerima vaksin dos 1 setakat 29 September (Rabu) adalah seramai 2,292,885 orang.
“Ini meliputi 2,038,083 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 73.9 peratus jumlah penduduk dewasa…
“Manakala bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap adalah seramai 1,773,611 orang. Daripada jumlah ini, seramai 1,773,407 orang atau 64.3 peratus adalah penduduk dewasa,” beliau berkata.
Sebanyak 20 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu lapan (8) kes di Sandakan, empat (4) kes di Pitas, dua (2) kes di Papar dan Tawau manakala masing-masing satu (1) kes di Kudat, Kinabatangan, Kota Marudu dan Penampang.






