KUALA LUMPUR – Bekas pengarah Bukan Eksekutif 1MDB bersetuju dengan pihak pendakwaan hari ini bahawa sejumlah RM2.28 bilion dana milik syarikat berkaitan kerajaan itu menyusup ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di antara 2011 dan 2014.
Ismee Ismail, yang diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram, bersetuju dengan perkara itu selepas ditunjukkan beberapa carta yang menggambarkan aliran wang melalui proses berlapis kepada nombor akaun Najib yang berakhir dengan angka 694 dan 880.
Semasa pemeriksaan oleh peguam Najib sebelum ini, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata bekas Najib tidak mendapat manfaat daripada projek dan pinjaman yang diambil oleh 1MDB…
Sri Ram: Ia telah dikemukakan kepada anda (oleh pembela) bahawa tertuduh tidak mendapat faedah atau ia dilakukan untuk kepentingan negara. Adakah anda ingin menyemak jawapan itu?
Ismee: Ya, daripada carta, sebahagian daripada dana masuk ke dalam akaun Najib.
Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Sri Ram berkata RM60.6 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Najib di bank AmIslamic di sini antara Februari dan Jun 2011 dalam dua transaksi.
Beliau berkata wang itu adalah daripada pengambilan RM5 bilion bon Islam yang diterbitkan oleh dana kerajaan negeri Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.
Sri Ram berkata wang ini datang daripada Good Star Ltd, salah sebuah syarikat yang dipercayai dimiliki oleh pembiaya buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
RM90.8 juta lagi daripada 1MDB Energy Ltd mula-mula disalurkan kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan kemudian ke Blackstone Asia, sebuah syarikat yang dikawal oleh Jho Low melalui rakan sekutunya, Tan Kim Loong.
Sri Ram berkata RM90.8 juta itu masuk ke dalam akaun Najib antara Oktober dan November 2012 dalam dua transaksi.
Antara Mac dan April 2013, beliau berkata, RM2.08 bilion (AS$681 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri melalui Tanore Finance Corp.
Akhir sekali, katanya, RM49.9 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2014.
Ismee adalah pengarah 1MDB antara 2009 dan 2016 dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji dalam tempoh yang sama…
Sri Ram juga bertanya kepada saksi, apakah tindak balas lembaga pengarah 1MBD apabila arahan datang daripada Najib.
“Saya fikir ia bagus, terutamanya untuk usaha sama antara 1MBD dan PetroSaudi International, terutamanya semasa saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib pada masa itu, dan itulah sebabnya beliau tidak meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah 1MDB seperti yang dilakukan oleh pengerusinya ketika itu, Bakke Salleh, pada 2009.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah diteruskan.