KOTA KINABALU, SABAH – Sistem pengangkutan yang cekap dapat memastikan ekonomi Sabah semasa pasca pandemik COVID-19 terus berkembang.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah berada pada landasan kadar pertumbuhan sehingga 4.5 peratus (4.5%) pada tahun hadapan.
“Kerajaan dan penjawat awam sedang berhadapan dengan hari-hari yang amat mencabar disebabkan COVID-19…
“Antara cabaran yang kita hadapi adalah ekspektasi pelanggan yang semakin meningkat,” katanya sambil menambah ia adalah kecenderungan sesetengah pihak untuk membandingkan tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan di negeri Sabah dengan yang ada di Semenanjung.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Untuk Kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) Bagi Tahun 2019 dan 2020 di Shangri-La Tanjung Aru petang semalam diwakili Pembantunya, Datuk Robert Tawik.

“Kita akur dengan segala kekurangan dan kekangan yang kita (JKNS) sedang hadapi. Tetapi Kerajaan Negeri tidak pernah jemu untuk menyuarakan segala ekspektasi dan inspirasi rakyat Sabah secara keseluruhannya…
“Perkara ini mungkin akan mengambil masa, tetapi saya memberi jaminan bahawa kami akan meneruskan usaha-usaha sehingga segalanya tercapai sepenuhnya mengikut inisiatif-inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” tambahnya.
Bung berkata, walaupun peruntukkan RM70 juta bagi jabatan berkenaan kelihatan agak kecil, namun beliau percaya perlaksanaan projek-projek yang akan datang bakal membuka mata lebih ramai pihak untuk melabur dalam pembangunan sektor pengangkutan di negeri ini.
“Walau sekuat manapun usaha rencana pihak Kerajaan, tanpa sokongam penjawat awam di setiap peringkat, maka segala perancangan akan menghadapi kesukaran…
“Saya mengajak dan merayu kepada kepada semua agar sama-sama menguatkan tekad dan prestasi kerja masing-masing.
“Masih banyak lagi perkara yang perlu kita buat dan capai demi rakyat dan negeri yang berdaulat ini,” ujarnya.





