SMJ 2.0 Amanah Bersama Rakyat, Bukan Janji Politik – Aksyah

SMJ 2.0 Amanah Bersama Rakyat, Bukan Janji Politik – Aksyah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu digalas secara bersama oleh seluruh rakyat Sabah, bukan sekadar agenda atau janji politik kepimpinan kerajaan negeri.

Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, SMJ 2.0 merupakan destinasi pembangunan yang perlu dicapai oleh semua lapisan masyarakat, merangkumi kepimpinan politik, penjawat awam, ahli parti serta rakyat jelata demi memastikan Sabah mampu berdiri setara dengan wilayah lain dalam Persekutuan Malaysia.

“SMJ 2.0 bukan milik individu atau mana-mana parti. Ia adalah impian bersama rakyat Sabah dan amanah setiap kita untuk menjadikan negeri ini maju, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan sepanjang tempoh 2026 hingga 2030,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Aksyah, kejayaan SMJ 2.0 menuntut kefahaman mendalam di peringkat kepimpinan terhadap dasar dan keutamaan pembangunan, bukan sekadar mengulang slogan, manakala penjawat awam pula perlu memperkukuh tatakelola, integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan agar hasil dasar benar-benar dirasai hingga ke peringkat akar umbi.

Beliau turut menegaskan kepentingan peranan rakyat dalam memberikan maklum balas serta menyokong penambahbaikan dasar secara berterusan supaya SMJ 2.0 benar-benar berakar dalam jiwa masyarakat Sabah.

“Tidak ada sumbangan yang lebih besar daripada sokongan berterusan rakyat. Setiap individu perlu menghayati makna amanah ini agar gagasan murni yang telah memasuki fasa kedua dapat direalisasikan demi generasi akan datang,” katanya.

Aksyah turut mendoakan agar kepimpinan negeri, khususnya Ketua Menteri serta seluruh jentera pentadbiran awam Sabah, diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam merealisasikan segala yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ 2.0.