KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dalam tempoh lima tahun ini adalah hasil komitmen dan sokongan padu penjawat awam negeri dan Persekutuan di Sabah.
Beliau berkata, sejak menerajui pentadbiran negeri lima tahun lalu, para penjawat awam sentiasa memainkan peranan penting meskipun berhadapan cabaran ketidaktentuan politik, pandemik COVID-19, ekonomi global serta perubahan iklim.
“It was a very-very interesting experience which I will cherish forever,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Penjawat Awam Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini hari ini.
Menurutnya, asas kukuh yang telah dibina melalui Hala Tuju SMJ 1.0 akan diteruskan melalui SMJ 2.0 selepas ini, demi memastikan kesinambungan pembangunan yang lebih cemerlang.
Sepanjang pentadbirannya, Hajiji turut melawat semua kementerian, jabatan dan agensi bagi meneliti keberkesanan pelaksanaan di peringkat akar umbi.
Hajiji berkata, penjawat awam merupakan tunjang pentadbiran kerajaan dan perlu terus memantapkan modal insan serta kepakaran seiring tuntutan zaman yang semakin sofistikated.
Beliau menegaskan hubungan baik antara penjawat awam dan kepimpinan kerajaan perlu terus dipelihara bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan.
Dalam konteks pemerkasaan modal insan, katanya kerajaan negeri melalui SMJ telah memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 1 Disember 2024, melibatkan unjuran perbelanjaan RM150 juta.
Melalui sistem ini, kenaikan 7 hingga 15 peratus gaji dilaksana secara berfasa sehingga 2026, di samping pemberian bantuan khas minimum RM4,000 kepada penjawat awam tahun ini.
Kerajaan juga memperkenalkan Insentif Percutian (i-Cuti) sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang berkhidmat lebih 20 tahun.
Sehingga kini seramai 7,872 Kumpulan Pelaksana, 824 Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan 61 Kumpulan Pengurusan Tertinggi layak menerima insentif ini dengan nilai keseluruhan RM17.7 juta.
Selain itu, perkhidmatan awam negeri akan diperkasakan melalui proses penaiktarafan 5,537 jawatan sementara dan kontrak kepada jawatan tetap, hasil persetujuan Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan pemberian khas penjawat awam sebelum Aidilfitri tahun hadapan dalam Bajet Negeri 2026.
“Mudah-mudahan Kerajaan ini beroleh mandat yang baharu daripada rakyat, supaya segala program pembangunan yang sedang rancak berjalan hari ini dapat diteruskan,” katanya.






