KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad setia memperjuangkan muzik dan karya sendiri, kumpulan rock tempatan Stereoangel akhirnya merealisasikan impian besar mereka dengan pelancaran album penuh pertama berjudul Abstraksasi, sebagai simbol perjalanan seni yang terus bernyawa.
Bagi Stereoangel, memiliki sebuah album penuh bukan sekadar pencapaian biasa, sebaliknya menjadi bukti kewujudan dan keteguhan perjuangan dalam industri muzik.
Kumpulan ini dianggotai oleh Mhai selaku vokalis dan gitar kedua, Nai di bahagian bass, Ding sebagai gitar utama, Moli selaku pemain dram serta Apis di bahagian keyboard dan synth.
Album Abstraksasi yang dilancarkan pada November lalu menandakan fasa baharu buat kumpulan tersebut selepas melalui proses pembikinan selama kira-kira lapan bulan. Album itu memuatkan sembilan buah lagu yang sarat dengan identiti muzik tersendiri Stereoangel.
Menurut Mhai, mereka sengaja memilih pendekatan berbeza dengan tidak terikat kepada tema cinta semata-mata, sebaliknya mengetengahkan mesej yang lebih luas dan dekat dengan realiti kehidupan.
“Abstraksasi membawa mesej kemasyarakatan dan isu kehidupan sebenar. Muzik kami berteraskan rock moden, tetapi lirik serta mesejnya datang daripada pelbagai sudut. Kami juga tidak mahu terlalu tipikal, sebab itu ada lagu raya dan patriotik dalam album ini,” katanya.
Album terbitan Mesqa Entertainment itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures, sekali gus menjadi suntikan semangat buat Stereoangel untuk terus melangkah ke hadapan.
Mhai berkata, sokongan terhadap bakat tempatan amat bermakna dan memberi harapan agar lagu-lagu dalam album tersebut dapat diterima pendengar, diberi ruang ke pentas anugerah berprestij serta berpotensi dipilih sebagai runut bunyi drama atau filem.
“Kami juga sentiasa bersedia untuk membuat persembahan di dalam dan luar negara kerana pentas adalah dunia kami,” katanya.
Walaupun pernah melalui fasa turun naik dan kurang mendapat perhatian arus perdana, Stereoangel menegaskan mereka tidak pernah berputus asa. Album ini menjadi simbol kebangkitan semula kumpulan tersebut dengan misi baharu.
Menurut Moli, perjalanan mereka tidak sentiasa mudah, namun kecintaan terhadap muzik menjadi faktor utama untuk terus bertahan.
“Ada masa kami menyepi, tetapi minat terhadap muzik tidak pernah pudar. Album ini membuktikan Stereoangel masih wujud dan bersedia untuk tampil semula, termasuk menarik perhatian pendengar baharu dan generasi muda,” katanya.
Ketika ini, Stereoangel giat mempromosikan single Ku Bukan Dewi Cinta yang turut dilancarkan bersama muzik video rasmi di YouTube AJ Productions Sdn Bhd. Selain itu, lagu Bukan Kehendakku juga dirancang untuk diputarkan secara serentak di 50 stesen radio di Indonesia.
Majlis pelancaran album, muzik video serta showcase Stereoangel telah diadakan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kota Kinabalu pada November lalu.






