Suara Kebencian Berbaur Agama, Ramai Rakyat Sabah, Sarawak Kesal Bentuk Negara Persekutuan...

Suara Kebencian Berbaur Agama, Ramai Rakyat Sabah, Sarawak Kesal Bentuk Negara Persekutuan Malaysia – Madius

0
SHARE
Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran (UPKO)...

KUALA LUMPUR: Sesi Persidangan Parlimen Dewan Rakyat pada Isnin digegarkan dengan pendedahan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) terhadap kekesalan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap Pembentukan Malaysia 1963 akibat sentimen perkauman dan keagamaan yang disifatkan semakin keterlaluan.

Menurutnya, walaupun pengumuman Menteri Agama berkaitan garis panduan dan Peraturan untuk orang-orang Islam telah ditolak Jemaah Kabinet pimpinan Perdana Menteri 7 Februari 2025, namun masih ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan keputusan tersebut.

“Suara-suara seperti ini ibarat menabur bibit-bibit perpecahan dan sengaja memanjangkan kekeliruan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Malah suara kebencian berbaur agama seperti inilah yang menyebabkan rakyat Sabah dan Sarawak merasa kesal membentuk negara Persekutuan Malaysia.

“Ramai yang berkata Malaysia hari ini bukanlah Malaysia yang telah kami persetujui untuk dibentuk di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Bagi kami di Sabah, MA63 terkandung dalam Batu Sumpah Keningau yang menyatakan kebebasan beragama dalam Sabah.

“Dan tidak kurang juga yang berkata bahwa wilayah kita yang terkaya dari segi sumber asli namun kita yang tersorot paling miskin.

“Dan ada yang berkata elok kita bersendirian macam Singapura,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah ucapan di Raja, di sini.

Madius menambah, Singapura negara berbilang kaum dan agama, namun tetap sepakat berpadu yang menyaksikan perbezaan agama dan kaum bukan penghalang dan pemisah perpaduan.

Malah dari segi ekonomi katanya, Singapura dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita USD 84,000 sudah mencapai status negara dunia pertama.

“Bayangkanlah perasaan orang Sabah apabila KDNK per kapita Sabah masih pada tahap USD5,000 dan Malaysia pada tahap USD12,000 berbanding dengan Singapura dan kita hanya berada di takuk yang sama tanpa kemajuan tahun demi tahun,” tegasnya.

Terdahulu Madius turut menekankan perkara 23 Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen bahawa: “Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri”.

Katanya, titah tersebut jelas membayangkan rasa gusar Tuanku tentang keutuhan dan kesatuan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.

“Kegusaran Tuanku diperkukuhkan lagi dengan ketegasan titah baginda bahawa: “Setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara” dan Tuaran sangat bersetuju malah menjunjung kasih Tuanku kerana dapat merasai nadi rakyat tentang betapa kritikalnya kesatuan negara Persekutuan Malaysia pada ketika ini.

“Justeru pengumuman Menteri Agama di Dewan Yang Mulia ini pada 4 Februari lalu adalah antara contoh tindakan dan keputusan yang belum pun ada kesepakatan tetapi sudah diumumkan.

“Tindakan tersebut juga jelas bertentangan dengan tata kelola yang baik demi memelihara keutuhan dan kesatuan negara Persekutuan Malaysia seperti yang dititahkan oleh Tuanku iaitu “mesti dibincang secara sepakat.”

“Ini bererti, setiap cadangan dasar, program dan garis panduan hendaklah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Kabinet sebelum diumumkan,” kata Madius.