
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, melalui syarikat milik penuhnya SMJ Energy Sdn Bhd, meneruskan momentum kukuh pada tahun baharu dengan penandatanganan dua perjanjian yang melibatkan Blok Penerokaan SB306A dan SB306B, di luar pesisir Timur Sabah,
Dengan penandatanganan perjanjian ini, SMJ Energy telah memperoleh hak penyertaan sebanyak 15 peratus dalam kedua-dua blok tersebut, yang terdiri daripada 7.5 peratus hak bawa percuma dari INPEX dan 7.5 peratus hak Kembali dari PETRONAS Carigali Sdn Bhd.
SB306A dikendalikan oleh INPEX, yang memegang 50 peratus Kepentingan Penyertaan (PI), manakala PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) memegang 42.5 peratus PI dan SMJ Energy dengan 7.5 peratus.
Bagi SB306B, PCSB berfungsi sebagai pengendali dengan 50 peratus PI, dengan INPEX memegang 42.5 peratus PI dan SMJ Energy memegang 7.5 peratus PI.
Di bawah perjanjian Bawa Percuma dan Kembali, SMJ Energy tidak menanggung risiko penerokaan dan akan memutuskan sama ada untuk melaksanakan hak penyertaan tertakluk kepada kejayaan penerokaan dan pertimbangan komersial lain.
Pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Malaysia Bidding Round 2024 (MBR2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada hari Isnin, 17 Februari 2025, Dr Dionysia Kibat, CEO SMJ Energy, menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran untuk Blok SB306A dan SB306B, bersama wakil-wakil dari Petronas, PCSB, dan INPEX.
Acara ini menandakan perjanjian penerokaan tambahan SMJ Energy di Sabah. Hak Kembali pertama ditandatangani pada 15 Februari 2023 untuk Blok Penerokaan SB409, dan hak Kembali kedua ditandatangani pada 23 Januari 2024 untuk Blok Penerokaan SB403, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sabah Barat.
SMJ Energy juga memegang 50 peratus Kepentingan Penyertaan dalam Usahasama PSC Samarang, 25 peratus kepentingan dalam kilang petrokimia SAMUR dan 10 peratus kepentingan dalam PETRONAS LNG9 Sdn Bhd.
Ia juga memiliki 100 peratus Sabah International Petroleum, yang kini bebas daripada hutang, menghasilkan aliran tunai yang kukuh dari operasi FPSO (Floating Production Storage and Offloading) dan FSO (Floating Storage Unit).
SMJ Energy ditubuhkan pada 10 November 2021 dan mengisytiharkan dividen sebanyak RM110 juta secara keseluruhan untuk 2023 dan 2024.