Tambang Bot Menumbok–Labuan Dikembalikan Kepada Harga Asal RM9 Bermula Hari Ini

Tambang Bot Menumbok–Labuan Dikembalikan Kepada Harga Asal RM9 Bermula Hari Ini

0
SHARE

KUALA PENYU: Kadar tambang bot penumpang bagi laluan Menumbok ke Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada kadar asal RM9.00 mulai hari ini, berbanding RM12 yang sebelum ini dikenakan sebagai surcaj bahan api sejak 1 November lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu dicapai hasil dua sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok bagi menyelesaikan isu kenaikan tambang berkenaan.

Menurut beliau, KPDN bersama kementerian terlibat akan membantu mempercepatkan kelulusan subsidi petrol RON95 melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sebaik permohonan dibuka kepada operator bot yang layak bermula 13 November ini.

“Sebagai langkah interim, operator bot yang layak juga dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos bahan api tambahan melalui sistem yang sama bermula hari ini. Tuntutan juga boleh dibuat untuk tempoh 30 September hingga 31 Oktober lalu sebelum surcaj dikenakan, dengan syarat dokumen pembelian dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di sini, hari ini.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok atas kerjasama dan penyelesaian berasaskan persefahaman demi kepentingan bersama penumpang dan operator.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada mantan Ahli Dewan Undangan Kuala Penyu, Datuk Limus Jury yang turut membantu memastikan keputusan yang dicapai memberi manfaat kepada pengguna serta pengusaha bot penumpang.