KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menubuhkan Task Force Bersepadu bagi menangani isu pelancongan di Semporna yang menjejaskan imej, keselamatan dan kelestarian industri pelancongan negeri.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata penubuhan pasukan khas itu bertujuan menyelesaikan masalah secara menyeluruh dan berasaskan pendekatan sistemik, bukan sekadar langkah reaktif.
“Hasrat kita jelas, kita mahu menyelesaikan masalah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata task force berkenaan akan dikawal selia oleh Pembantu Menteri KePKAS, Dr Andi Rizal, dengan laporan kemajuan dibentangkan kepadanya setiap dua minggu bagi memastikan tindakan yang diambil berfokus dan berakauntabiliti.
Menurut Jafry, antara isu utama yang dikenal pasti termasuk ketidakselarasan bidang kuasa antara agensi, kewujudan struktur tidak berlesen, aspek keselamatan, kebersihan serta pengurusan infrastruktur pelancongan di Semporna.
“Kegagalan menangani isu ini akan memberi kesan besar kepada sektor pelancongan Sabah secara keseluruhan,” katanya.
Sebagai langkah segera, beliau berkata tindakan ad hoc telah dimulakan termasuk sesi libat urus bersama pemain industri, dan beliau sendiri akan turun padang bagi memastikan isu berkenaan ditangani secara praktikal dan berkesan .






