KOTA KINABALU: Parti STAR Beaufort menerima kemasukan beberapa tokoh politik tempatan termasuk anak dan keluarga bekas pemimpin UMNO Beaufort, Allahyarham Datuk Seri Mohd Dun Banir, menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Kemasukan Shabudin dan Noraina Mohd Dun bukan satu kebetulan, tetapi bukti sokongan terhadap prinsip perjuangan STAR,” kata Penyelaras Parlimen STAR Beaufort, Jin Tze Vun.
Menurutnya, gelombang sokongan ini menunjukkan kesedaran rakyat Sabah semakin meningkat terhadap isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan semangat “Sabah untuk Sabahans”.
“Semakin ramai sedar bahawa sudah tiba masanya Sabah menuntut semula hak dan layanan adil yang sekian lama dinafikan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.
Jin berkata keputusan mereka menyertai STAR adalah pengiktirafan terhadap pendirian tegas parti di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
“Mereka terinspirasi dengan kejayaan Sarawak mempertahankan haknya iaitu pendekatan yang patut diteladani Sabah,” ujarnya lagi.
Jin turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR dan Timbalan Presiden Datuk Kenny Chua atas kepercayaan dan sokongan berterusan, serta menegaskan kesediaan STAR Beaufort untuk memperkukuh gerak kerja menghadapi PRN akan datang.






