UMS, Universiti Terbaik Kaji Serangga – Pelajar Antarabangsa Sains Biologi

UMS, Universiti Terbaik Kaji Serangga – Pelajar Antarabangsa Sains Biologi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mendapat perhatian pelajar antarabangsa apabila Liu Tong Shua, 23, dari China memilih institusi tersebut untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Biologi di Fakulti Perhutanan Tropika.

Liu berkata, keputusannya itu dibuat selepas mendapat pandangan rakan-rakan dalam bidang entomologi di Singapura dan Malaysia yang menyarankan UMS sebagai destinasi terbaik untuk mendalami kajian serangga tropika.

“Rakan-rakan saya yang merupakan ahli entomologi di Singapura dan Malaysia memberitahu, jika mahu belajar berkaitan entomologi serta mencapai cita-cita dalam bidang ini, UMS merupakan pilihan yang terbaik.

“Di sini, peluang saya untuk memperoleh pengalaman lebih luas amat besar berbanding universiti di negara lain,” katanya.

Liu, yang turut menerima tawaran pengajian daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), berkata pilihannya ke UMS selari dengan cita-citanya untuk menjadi ahli entomologi yang berjaya pada masa depan.

Beliau mendedahkan minatnya terhadap serangga bermula sejak berusia tiga tahun apabila mula mengumpul serta menyimpan spesimen, dan berharap pengajian di UMS dapat memperkukuh pengetahuan serta pengalamannya.

“Sejak 2016, saya sudah beberapa kali mengunjungi Sabah bersama keluarga dan sejak itu saya amat menyukai negeri ini. Kali ini, saya datang sebagai pelajar rasmi UMS dan berharap pengalaman di sini lebih bermakna,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar antarabangsa, Nafis Hanif, 24, dari Brahmanbaria, Bangladesh, memilih untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Kimia Industri) di UMS demi merealisasikan impian arwah bapanya.

“Bapa saya pernah berhasrat membangunkan sebuah kilang mesra alam, namun beliau meninggal dunia sebelum sempat melaksanakannya. Saya ingin menunaikan impian itu melalui bidang pengajian ini,” katanya.

Nafis berkata, keputusannya ke UMS turut dipengaruhi oleh persahabatan akrabnya dengan rakan dari Sabah yang dikenalinya melalui permainan dalam talian League of Legends.

“Saya amat menyukai keramahan masyarakat di Sabah dan setakat ini, pengalaman saya di UMS sangat baik.

“Walaupun agak gementar menghadiri kelas kerana kekangan bahasa, saya yakin dapat menyesuaikan diri apabila sesi pembelajaran bermula,” jelasnya.

Untuk rekod, Liu dan Nafis merupakan antara 5,123 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian ke UMS bagi kemasukan sesi 2025/2026.