TUARAN, SABAH – Tenom muncul sebagai Johan Pertandingan Sepak Takraw Sukan Sabah (SAGA) X bagi kategori berpasukan lelaki.
Pada pusingan akhir, persaingan sengit menyaksikan Pasukan Astaka Tenom berjaya menewaskan Pasukan Beluran yang juga merupakan juara bertahan SAGA IX Keningau 2019 dengan keputusan 2-1.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Daerah Tenom, Datuk Jamawi Jaafar yang hadir memberikan sokongan turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Astaka Tenom melakar sejarah emas pertama bagi sukan tersebut.
“Ini juga sekaligus menjadikan ia emas pertama yang di raih oleh Kontinjen Tenom dan diharap ia akan menjadi pemangkin semangat bagi Tenom untuk lebih berjaya di arena Sepak Takraw di negeri Sabah,” katanya.
Beliau yang diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun ditemui di Dewan Sri Sulaman, pada Isnin.
Turut bertanding bagi pusingan akhir kategori sama ialah Pasukan Wanita Beluran menentang Papar dengan kesudahan Beluran menang 2-0.
Sementara itu, di Kompleks Sukan Tuaran 34 pingat emas ditawarkan dalam Kejohanan Olahraga SAGA X mulai hari ini hingga Khamis.
Acara yang dipertandingkan ialah 100 meter, 200 meter, 400 meter,800 meter,5000 meter, 4 x 100 meter, 4 x 400 meter, 1500 meter dan 3000 meter lari berhalangan.
Turut dipertandingkan, acara 100 meter lari berpagar, 110 meter lari berpagar,lompat kijang,lompat jauh,lompat tinggi, lemper cakera, rejam lembing dan lontar peluru kepada 28 pasukan yang menyertai kejohanan terbabit. — JABATAN PENERANGAN SABAH