Wanita Curi Dompet dan Guna Kad Kredit Mangsa Beli Kipas Angin

Wanita Curi Dompet dan Guna Kad Kredit Mangsa Beli Kipas Angin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang wanita yang disyaki mencuri dompet milik seorang pelanggan di Pasaraya Emart Lintas Jaya, Kota Kinabalu, sebelum menggunakan kad kredit mangsa untuk membuat pembelian, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuat pembayaran di kaunter pasar raya tersebut. Mangsa kemudian menyedari dompetnya yang disimpan di dalam beg sandang telah hilang.

“Dompet berkenaan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit Public Bank, serta wang tunai dianggarkan berjumlah RM400.

“Berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek wanita itu didapati mengambil dompet tanpa disedari dan kemudiannya menggunakan kad kredit milik mangsa untuk membeli sebuah kipas angin di aras satu pasar raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengawasi barangan peribadi masing-masing ketika berada di tempat awam bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.