KOTA KINABALU, SABAH – Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, melantik Datuk Jafry Ariffin sebagai Ketua UMNO Sabah melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) mencetuskan bantahan luas dalam kalangan ahli parti sendiri. Ramai melihat langkah ini sebagai keputusan yang bukan sahaja tersilap, tetapi mempercepatkan proses tenggelamnya UMNO selepas kekalahan terburuk di PRU–Sabah ke-17.
Pelantikan ini menerima reaksi keras di laman media Facebook, di mana ahli-ahli UMNO dari seluruh negeri secara terbuka mengkritik Zahid kerana tidak mengambil kira realiti politik Sabah yang sedang berada pada tahap paling rapuh dalam sejarah. Mereka menyifatkan Zahid mengulangi kesilapan lalu apabila memilih pemimpin yang tidak mencerminkan keperluan UMNO Sabah untuk bangkit semula.
Pada PRU–Sabah ke-17, UMNO–BN bertanding 47 kerusi tetapi hanya menang 6 kerusi, sekali gus menjadikan prestasi itu yang paling buruk sejak UMNO memasuki Sabah pada 1991. Hampir separuh calon UMNO turut hilang wang deposit, menandakan kejatuhan sokongan rakyat yang amat serius.

Ahli akar umbi menegaskan bahawa Sabah memerlukan tokoh yang lebih berpengaruh dan berpengalaman seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan atau Datuk Seri Salleh Said Keruak. Namun keputusan melantik Jafry dilihat sebagai tindakan yang tidak berpijak di bumi nyata dan menambah jurang antara kepimpinan pusat dan rakyat Sabah.


Walaupun ratusan jentera dari Semenanjung dikerah untuk membantu kempen, penolakan terhadap UMNO bukan sahaja berterusan, malah semakin kuat. Rakyat Sabah semakin menolak dominasi politik Semenanjung, dan keputusan melantik Jafry dianggap memperkukuh persepsi bahawa UMNO tidak memahami identiti serta tuntutan politik negeri ini.
Rekod Jafry ketika memegang portfolio negeri sebelum ini turut dipersoalkan ahli parti, yang menganggap beliau bukan calon terbaik untuk memimpin UMNO Sabah pada saat kritikal ini. Pelantikan ini menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Zahid serta kesungguhan beliau memahami krisis sebenar yang sedang melanda parti.
Pemerhati politik percaya UMNO Sabah kini berada di ambang karam jika kepimpinan pusat terus membuat keputusan yang bercanggah dengan kehendak akar umbi. Ramai menjangka lebih ramai ahli boleh meninggalkan parti dalam masa terdekat jika situasi ini tidak ditangani segera.






