193 Pelajar Terima Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa

193 Pelajar Terima Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar Program Penyerahan Dokumen Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, di Auditorium Wisma Ungku Aziz ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa kepada seramai 193 pelajar instituti pengajian tinggi dengan jumlah pembiayaan sejumlah RM2.438 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan pelajar itu, 156 pelajar sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda, 37 pelajar separuh masa yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

“Sejak tahun 2000 hingga 2023, Angkasa telah menyalurkan peruntukkan pembiayaan pendidikan sebanyak RM26 juta kepada Yayasan Angkasa dan RM6.2 juta daripada sumbangan luar menjadikan keseluruhan peruntukan RM32.2 juta.

“Ia memberi manfaat kepada seramai 1,699 anggota dan anak-anak anggota koperasi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penyerahan Dokumen Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, di Auditorium Wisma Ungku Aziz, di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Yayasan Angkasa Datuk Seri Dr.Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar.

Ewon berkata, usaha murni ANGKASA melaksanakan tanggungjawab sosial membantu anggota dan anak-anak anggota koperasi dengan menyalurkan peruntukkan tahunan kepada Yayasan ANGKASA selaras dengan peranan Yayasan Angkasa memperkasakan taraf pendidikan dan pembangunan modal insan warga koperasi.

“Saya berharap para pelajar yang menerima pembiayaan daripada Yayasan Angkasa, setelah tamat pengajian dapat meyumbangkan kepada pembangunan koperasi dan menceburi bidang keusahawanan.

“Saya juga menggesa agar para pelajar mengujudkan koperasi di komuniti masing-masing, kerana saya percaya bidang keusahawanan melalui koperasi dapat membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi masyarakat,” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensi-agensi di bawah kementerian ini seperti Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyediakan pelbagai latihan dan program keusahawanan.

“Selain itu, IKMa iaitu agensi di bawah kementerian juga mempunyai universiti sendiri iaitu Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang menawarkan pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang keusahawanan,” katanya.