20 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu Benteras Lumba Haram di Tawau

20 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu Benteras Lumba Haram di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Sebanyak 20 notis saman trafik dikeluarkan dalam satu operasi bersepadu membanteras lumba haram yang dijalankan oleh Balai Polis Bandar Sri Indah bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau di KM45 Jalan Tawau–Semporna, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi yang dijalankan dari jam 5.01 petang hingga 9.00 malam itu melibatkan seramai 19 anggota, terdiri daripada 17 anggota Balai Polis Bandar Sri Indah dan dua anggota BSPT IPD Tawau.

“Sebanyak 20 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, antaranya tiada cermin sisi, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada lesen memandu, dan aksesori motosikal tidak lengkap,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sepanjang operasi, polis telah memeriksa 19 buah motosikal melibatkan 19 penunggang lelaki.

Tiada tangkapan atau sitaan dibuat, namun pemeriksaan turut melibatkan semakan sistem MCOP/MCAD bagi mengenal pasti rekod kesalahan lalu.

ACP Jasmin memaklumkan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, dan pihaknya akan meneruskan operasi seumpama ini secara berkala bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membanteras aktiviti lumba haram di daerah Tawau.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar tidak terlibat dalam lumba haram yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“PDRM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.