KOTA KINABALU, SABAH – Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Mohd Noor dilahirkan di Kampung Serusup Tuaran, pada 10 Mei 1955 dan merupakan Ketua Menteri Sabah ke-16.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk kawasan Sulaman sejak tahun 1990 sehingga kini juga dikenali sebagai pemimpin yang amat mesra kepada rakyat, berperwatakan sederhana serta berpengalaman di dalam selok-belok pentadbiran negeri Sabah.
Memulakan kerjaya sebagai juruhebah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah pada 1976 selama satu tahun. Pada tahun berikutnya, beliau telah ditawarkan jawatan sebagai Penolong Pegawai Pembangunan di Pejabat Daerah Tuaran dan berkhidmat dari tahun 1977 hingga 1982. Selepas menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Ekonomi Masyarakat di Southern New Hampshire University, Amerika Syarikat, beliau berkhidmat sebagai Penguasa Kastam Sabah dari tahun 1986 hingga 1990.
Turut digelar sebagai ‘Bapa Perumahan Negeri Sabah’ selepas menunjukkan prestasi cemerlang sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah bermula tahun 2004 sehingga Mei 2018, Hajiji juga adalah Menteri yang bertanggungjawab membina rumah kos rendah hampir di seluruh daerah di Sabah.

Selepas hampir 7 bulan menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah, wartawan Sabahnews.com.my telah menemubual seorang Pakar Ekonomi anak tempatan negeri Sabah, Professor Datuk Dr Kasim Mansur bagi melihat sejauh mana kemampuan Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam mengemudi Sabah menjadi negeri maju di Malaysia.

Professor Datuk Dr Kasim Mansur yang juga adalah Profesor Fakulti Perniagaan, Eknonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pernah dinobatkan sebagai penerima The Asia HRD Award 2017 iaitu anugerah paling berprestij di Asia dan beliau adalah salah seorang daripada 197 penerima dari 18 buah negara sejak anugerah itu diwujudkan pada tahun 2003.
SESI TEMUBUAL WARTAWAN;
Sabah bakal merasa lagi zaman kegemilangannya seakan pada era 70’an di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang bergerak seiring dengan Perdana Menteri Malaysia.
Datuk Dr Kasim Mansur, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), berpendapat bahawa lonjakkan semula ekonomi lumpuh kian dilihat dengan keyakinan baharu pelabur domestik dan asing terhadap negeri ini.
“Pada era tersebut, Sabah merupakan negeri KEDUA terkaya di Malaysia, mengekori Selangor yang giat dalam perindustrian penggantian import,” kata beliau.
Kasim salah seorang dari lapan orang di dalam Majlis Penasihat Ekonomi Sabah diketuai Tan Sri David Chu. Tugas kumpulan ahli fikir ini meramal perkembangan ekonomi negeri.
Industri pelancongan yang dahulu menjadi nadi pendapatan negeri ini terputus setelah dilanda pandemik COVID-19.

Bagi Kasim, talian hayat Sabah pada waktu ini bergantung pada sumber asli semula jadi yang belum dimanfaatkan.
“Hajiji selaku Ketua Menteri memberi ciri-ciri kepimpinan berwawasan dengan bersifat terbuka berdialog walaupun dengan pihak pembangkang. Pendekatan ini kontra dengan cara Kerajaan lampau (Parti Warisan) yang telah banyak merancang segalanya, tetapi hanya tinggal di atas kertas…
“Sabah adalah penghasil petroleum dan minyak kelapa sawit terbesar Malaysia, tetapi pulangannya tidak kelihatan.
“Cerita yang sama tampak dalam sektor pelancongan di mana hampir RM9 billion dijana setiap tahun tetapi pulangannya tidak pernah dirasai rakyat.
“Sabah pula mencecah hampir RM80 billion ringgit setahun dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu 6 peratus (6%) dari angka KDNK negara,” jelas beliau.
Tidak mengambil 6 peratus (6%) tersebut sebagai jumlah yang remeh, Kasim berkata negeri Sabah juga berdiri di tangga KE-ENAM dalam penyumbang KDNK negara.
“Kita (Sabah) bukanlah satu negeri yang kecil. Belanjawan 2021 hanya memperuntukkan RM4.5 billion di mana 40 peratus (40%) dari itu harus diguna pakai bagi tugas-tugas penyelenggaraan negeri.
“Bakinya tidak mungkin mencukupi bagi Sabah menerajui pembangunan pesat. Ini adalah ibarat kepala yang besar pada tubuh yang kecil.”
Juga kesilapan kepimpinan lalu adalah karenah birokrasi yang mengambil masa bertahun semata untuk mendapat kelulusan projek menyehinggahkan timbul perasaan jemu dan hilang minat oleh pelabur asing.
Kasim berkata pada waktu itulah ketirisan negeri berlaku dan Sabah langsung dilabel sebagai “TIDAK CEKAP”.
Mengambil contoh projek mega RM7 billion Lok Kawi Resort City, beliau berkata majlis pecah tanah tersebut sudah lama berlalu tetapi yang berikut hanya adalah ‘KESENYAPAN’.

“Pelabur mengejar pulangan cepat. Jika mengambil bertahun-tahun untuk mendapat kelulusan, lebih baik tidak payah memberi harapan dari mulanya…
“Hajiji melihat masalah ini dan sedang cuba memperbaikinya. Ketua Menteri juga memberi insentif kepada pelabur supaya terus tertarik berniaga dengan negeri ini,” dia berkata.


Menurut Kasim, wawasan seorang Ketua Menteri haruslah bersehaluan dengan Perdana Menteri bagi menjamin pembangunan negara sekata.
“Hubungan ini wujud di antara Hajiji dan Tan Sri Muhyiddin Yassin…
“Taraf kemiskinan dan pengangguran negeri Sabah sangat tinggi sementara dari segi KDNK dia pula antara yang terendah.
“Ketua Menteri Sabah juga sedang giat menarik pelabur untuk mengalahkan ‘BRAIN DRAIN’, di mana sumber manusia Sabah berkurangan kerana terpaksa mencari kerja di tempat lain,” dia memberitahu SabahNews.
MASIH ADA HARAPAN BAGI SEKTOR AGRIKULTUR;
“Buang yang keruh ambil yang jernih,” kurangkan kelapa sawit, pandang tanaman ‘hybrid’, adalah intipati mesej beliau.
“Apa yang dilihat sebagai sektor matahari terbenam sebenarnya terbit jika dipandang dari sudut yang betul. Hanya minggu lalu kerajaan Sabah menutup perjanjian dengan Kumpulan Linaco untuk produk berasaskan kelapa berjumlah RM 10 billion.
“Jikalau ini menjadi trend KDNK tahunan Sabah pasti melonjak 30 peratus dalam jangka sepuluh tahun.
“Lebih ramai penduduk kita patut menceburi bidang tanaman berisiko rendah tetapi yang menjana hasil tuaian yang tinggi.
“Kerajaan yang wujud sekarang adalah yang kurang berpolitik tapi lebih fokus kepada pembangunan. Gerak kerja Hajiji bijak untuk mengutamakan rakyat. Sudah tibanya masa rakyat menjadi tumpuan dan bukan ahli politik.
“Selepas dunia dilanda pandemik yang susah semakin susah. Ekonomi merundum, syarikat menggulung tikar, dan individu-individu hilang mata pencarian.
“Peruntukkan RM 3.1 juta dari kerajaan bagi ADUN pembangkang pada Februari menunjukkan pendekatan ekonomik berperikemanusiaan.

“Etika inilah sepatutnya menjadi perlandasan kepada semua negeri. Kebanyakkan negara dunia pertama semua mengikut tertib pembahagian peruntukan yang serupa.
“Dan sudah tiba masanya Kerajaan Pusat mengambil kira langkah ini dalam prinsip kepimpinan mereka.
“Kita tidak boleh menganak-tirikan rakyat di kawasan pembangkang dan menafikan hak sama rata mereka,” jelas Kasim.
Dalam pada topik politik, katanya Sabah juga terkenal sebagai “ARENA MENGUNDI”.
“Pada pendapat saya PRN lalu hanya merugikan kepada semua orang dalam negara. Kos RM130 juta jika diguna pakai untuk sedikit sebanyak pembangunan, sebuah impak positif besar sepatutnya boleh dirasai semua,” tambah beliau lagi.





