ADUN Liawan hargai Sokongan UMNO Terhadap Kerajaan GRS

ADUN Liawan hargai Sokongan UMNO Terhadap Kerajaan GRS

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sokongan UMNO Sabah terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dihargai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Beliau berkata pendirian tersebut menunjukkan UMNO Sabah menepati janji serta menghargai mandat yang diamanahkan oleh rakyat Sabah kepada kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar yang telah menyatakan pendirian UMNO Sabah untuk terus menyokong Kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor…

“Pendirian UMNO Sabah terhadap Kerajaan Negeri amat penting meskipun berlaku pergolakan politik di peringkat Persekutuan.

“Ini adalah satu tanda bahawa kerajaan GRS cukup memahami dan mengambil berat dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Sabah tatkala kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Annuar turut menyokong saranan yang dilontarkan ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk memperkasakan GRS sekaligus menujukkan kematangan dalam berpolitik.

“Saya juga amat bersetuju dan menyokong sepenuhnya saranan dan seruan daripada Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak agar GRS ini dapat diperkasakan menjadi entiti rasmi Sabah sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak, lengkap dengan lambang GRS sendiri…

Datuk Seri Salleh Said Keruak…

“Pemerkasaan GRS sebagai satu entiti juga dilihat mampu memberikan kerajaan negeri Sabah suara yang lebih lantang atau ‘bargaining power’ (kuasa tawar-menawar) dalam memperjuangkan hak-hak negeri Sabah sepertimana yang telah termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita sedar pemerkasaan GRS ini memerlukan satu kehendak politik yang kuat dan jitu daripada semua parti di dalam GRS. Inilah masa yang sesuai untuk kita memulakan langkah pertama kita.

“Sokongan padu dan tidak berbelah bagi yang berterusan kepada kerajaan GRS ini juga membuktikan kematangan politik serta kewarasan pemikiran dikalangan pemimpin gabungan yang mendahulukan kepentingan rakyat berbanding hal-hal lain dikala kita berhadapan dengan waktu sukar seperti sekarang,” katanya.