Majlis Ibadah Korban Punca Wujudnya Kluster Timbua Di Ranau

Majlis Ibadah Korban Punca Wujudnya Kluster Timbua Di Ranau

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kluster Timbua di Ranau yang dilaporkan semalam (Selasa) dipercayai berpunca daripada aktiviti majlis ibadah korban di Masjid Timbua.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kes indeks merupakan seorang penghidap kanser yang berumur 52 tahun.

“Kes indeks lelaki itu dikesan positif pada 23 Julai dalam saringan pra-kemasukan ke wad…

“Turut dikesan positif adalah penjaga kepada kes indeks di dalam wad,” jelasnya.

Sementara itu, saringan kontak rapat yang dijalankan pada 27 hingga 29 Julai mendapati pertambahan kes positif dalam kalangan kontak rapat dan diperluaskan hingga semalam.

“Daripada 239 kontak yang disaring, 48 orang dikesan positif termasuk satu (1) kes baharu hari ini (Selasa)…

“Selain Kampung Timbua, jumlah kes positif melibatkan beberapa lokaliti lain di antaranya, Kampung Lembah Permai, Kampung Kembiroi, Kampung Merungin 2 dan Kuarters Ibu Pejabat Polis Ranau,” Masidi berkata.

Dalam pada itu, sejumlah 12 kes kematian turut dilaporkan dari enam daerah iaitu lima (5) kes di Tawau, tiga (3) kes di Sandakan dan masing-masing satu (1) kes di Keningau, Telupid, Kota Kinabalu dan Tenom.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 10 Ogos 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Sebanyak 11 lokaliti akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa dari 12 sehingga 25 Ogos.

“Ini termasuklah tiga (3) lokaliti di Kota Kinabalu, iaitu Kuarters Kilang J & L di Jalan Kokol,dan Kampung Gudon dan Lobou di Manggatal…

“Kampung Menunggui di Kota Belud, Kampung Tengah di Kinarut, Papar, Kampung Petagas di Putatan, Kampung Pogunon di Penampang, Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru di Ranau,Kampung Batu 1 di Sipitang, Kampung Bukit Kukusan di Tawau,dan Kampung Batu-Batu di Tenom,” kata Masidi.

Dalam perkembangan lain, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan empat (4) kompaun semasa menjalankan pematuhan SOP ke atas 129 premis perniagaan dan 564 individu di 18 kawasan sini.

Satu (1) kompaun dikenakan ke atas premis dengan kesalahan kerusi atau meja tiada penjarakan 1 meter di City Food Corner, Gaya Street.

Tiga (3) lagi kompaun dikenakan ke atas individu dengan kesalahan gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau Buku Pendaftaran di restoran Upperstar Damai (1 Orang), dan tidak memakai pelitup muka (facemask) atau tidak memakainya dengan betul di Upperstar Damai (2 Orang Pekerja).

Sebanyak 38 kompaun melanggar SOP COVID-19 telah dikeluarkan seluruh Sabah setakat ini.