Kadar Pematuhan SOP Di Kalangan Kontraktor Sabah Meningkat – CIDB Sabah

Kadar Pematuhan SOP Di Kalangan Kontraktor Sabah Meningkat – CIDB Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kadar pematuhan pihak kontraktor kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) meningkat sejak sektor pembinaan dibenarkan beroperasi pada pertengahan Julai lalu.

Lembaga Pembinaan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Sabah mendapati 99 peratus (99.2%) tapak pembinaan dan kontraktor mematuhi SOP ditapak bina semasa tempoh Perintah Kawalan Pengerakan 3.0 (PKP 3.0) sehingga kini.

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Awang Hassan berkata, setakat 26 Oktober tahun ini, Sebanyak 546 tapak projek telah diperiksa di seluruh negeri.

“Statistik pemantauan semasa PKP 3.0 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 mendapati sebanyak 63 peratus tapak beroperasi dan dijangka 99 peratus tapak projek akan beroperasi pada akhir bulan ini di seluruh Sabah…

“Peralihan ke PPN Fasa 3 membenarkan tapak pembinaan beroperasi tanpa memerlukan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tapak pembinaan ditutup dan amaran secara lisan telah dikeluarkan kepada kontraktor yang gagal mematuhi Akta 342 Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebahagian SOP Majlis Keselamatan Negera (MKN),” katanya.

Beliau ditemui kelmarin pada sebuah tapak pembinaan pembangunan bercampur (mixed development) di Tuaran yang merangkumi rumah teres, lot kedai dan sebuah pangsapuri.

Rosmen (duduk tiga dari kanan) bergambar bersama wakil agensi yang terlibat dalam operasi…

Katanya lagi, selain memastikan bahawa semua buruh kasar menerima vaksin sewaktu kelangsungan pembangunan pasca pandemik ini, Akta 446 Jabatan Tenaga Kerja iaitu berhubung penginapan mereka masih belum digazetkan di Sabah dan Sarawak.

“Ia perlu dimaklumkan kepada kontraktor di sini supaya mereka lebih sedar akan perintah yang bakal diguna pakai…

“Kita juga meminta mereka supaya sentiasa mematuhi peraturan bagi mengelak dikenakan tindakan,” tambahnya.

Beliau berkata niat mereka bukan untuk mengeluarkan kompaun dengan sewenang-wenangnya tetapi bagi memantapkan imej industri pembinaan khususnya di Sabah dengan meningkatkan kadar pematuhan.

Penguatkuasa CIDB memeriksa sijil vaksin beberapa orang pekerja…

“Memang ada kontraktor datang merayu tapi kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya sambil menambah kontraktor kecil yang biasanya akan menderita setelah dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, seorang Kontraktor Utama dan 10 Sub Kontraktor diperiksa bersama 93 bilangan pekerja di mana 58 daripada mereka adalah orang bukan warganegara.

Penguatkuasa CIDB mengambil rekod pekerja…

Operasi yang dijalankan bersama KKM melihat empat (4) keping notis amaran dikeluarkan berhubung kebersihan tapak bina dan air bertakung berhampiran pejabat dan ketiadaan papan tanda pada tapak pembinaan itu sendiri.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), manakala, mengeluarkan lima (5) keping amaran berkenaan kelengkapan vaksin pekerja, senarai saringan pekerja yang membuat ujian saringan COVID-19, pekerja yang tidak mengimbas kod MySejahtera selain kawasan yang berpotensi sebagai pembiakan jentik.

Turut hadir dalam operasi kira-kira 9 pagi itu adalah wakil daripada Akedemi Binaan Malaysia (ABM) dan Pejabat Daerah Tuaran.