MUAR, JOHOR – Walaupun negara masih dilanda penularan pandemik COVID-19, pengundi yang turun untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyatakan mereka tidak takut untuk keluar menunaikan kewajipan mereka untuk mengundi.
Kebanyakan mereka turun padang dan ingin menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengundi, lapor Sinar Harian.
Seramai 2.597 juta pengundi yang merangkumi 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) Luar Negara, selain pengundi biasa, dilapor layak mengundi dalam PRN Johor.
Salah seorang guru, Azman Ali, 59, berkata, beliau bertanggungjawab untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengundi di negeri ini.
“Saya tidak takut untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi…
Lagi pun saya sudah dijangkiti Covid-19 baru-baru ini,” katanya.
Azman merupakan pengundi pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar pada Sabtu.
Manakala, seorang suri rumah, Tan Sui Veck, 70, menyatakan dia tidak gentar untuk keluar mengundi baru-baru ini.
“Saya tidak takut. Saya datang untuk tunaikan kewajipan,” katanya.
Inspektor Mohd Noor Had Abdul Kahar, 37, pula yang bertugas pada Sabtu juga berkata beliau hadir untuk menunaikan tanggungjawabnya.
Mohd Noor yang bertugas di Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri berkata, beliau tidak mengundi awal pada Selasa lalu kerana tidak menukar alamatnya.
“Saya tidak tukar alamat dan alamat kampung saya juga di sini,” katanya.





