KOTA KINABALU, SABAH – Tenaga kerja sesebuah organisasi kerajaan merupakan penggerak utama perkhidmatan awam dan oleh itu perlu responsif kepada keperluan negeri dan kehendak rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, modal insan berkepakaran tinggi dan profesional adalah kunci utama kejayaan sesebuah organisasi sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
“Kita sebagai warga kerja Kementerian Kerja Raya (KKRS) haruslah memberikan komitmen yang jitu dalam menjalankan tugas dan juga menetapkan iltizam yang utuh untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi iaitu perkhidmatan yang selamat, berkesan, berpaksikan pelanggan, saksama, efisien dan menepati waktu atau masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 KKRS di bilik mesyuarat Kinabalu Jabatan Kerja Raya di sini, hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya Satuk Robert Tawik, Datuk Limus Jury, Setiausha Tetap KKRS Datuk Jasmin Juplin dan Timbalan Setiausaha Tetap II KKRS Hassan Mahali.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya , kerajaan sentiasa mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam termasuk pemberian anugerah atau ganjaran.
“Melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini, saya berharap ia akan menjadi motivasi kepada pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan mempergiatkan daya usaha bagi mencapai produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi,” katanya.
Selain itu Bung berkata perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama.
“Apabila menyentuh tentang integriti, fokus kita bukan hanya kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata yang melibatkan wang ringgit malah merupakan satu konsep yang lebih besar dan lebih meluas, integriti bermaksud kita memberikan yang terbaik,” katanya.
Pada majlis itu, tiga (3) orang kakitangan KKR dari pelbagai peringkat jawatan dipilih untuk menerima APC 2020 mankala seramai enam (6) orang menerima anugerah Setiausaha Tetap (SUT) KKRS 2020.





