KENINGAU, SABAH – Daerah Keningau kini telah menjadi daerah terbaharu yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Demam Babi Afrika (ASF), demikian menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.
Ini susulan penemuan virus tersebut di kalangan babi kampung di Kg Bandukan Lama, di mana 24 ekor babi dilaporkan mati akibat virus tersebut.
“SIASATAN AWAL MENUNJUKKAN TERDAPAT KEBARANGKALIAN PENYAKIT ASF DI KAMPUNG TERSEBUT DIBAWA OLEH BABI HUTAN. SEBELUM KEMATIAN BABI KAMPUNG ITU, DVS TELAH MENERIMA LAPORAN KEMATIAN BABI HUTAN DI HUTAN BERHAMPIRAN KAMPUNG TERSEBUT.
“Keningau memiliki sekitar 1.000 ekor babi, dan semuanya berisiko terkena jangkitan kerana biosekuriti ladang/premis yang tidak sempurna. Oleh itu, DVS sedang giat menjalankan kempen kesedaran di daerah itu untuk menasihati penduduk agar tidak memindahkan babi peliharaan atau produk berasaskan babi mereka tanpa kebenaran daripada jabatan,” katanya.
Menurut Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata, walaupun Sabah mempunyai 12 daerah terjangkit ASF, dua daerah, Pitas dan Kota Marudu kini diklasifikasikan sebagai ‘Indeks Kuning’ setelah tidak ada kes ASF baru dilaporkan dalam 60 hari terakhir.
Penyakit ini juga diuruskan mengikut prosedur operasi standard DVS.
Zon Indeks Kuning bermaksud bahawa repopulasi atau penternakan semula babi adalah dibenarkan selagi ladang/premis meningkatkan keselamatan biosekuriti dan babi didapati daripada ladang yang bebas ASF.
Namun demikian, pergerakan keluar masuk babi dan produk babi di daerah indeks kuning masih memerlukan kebenaran daripada DVS.
“Kementerian saya melalui DVS akan terus memantau perkembangan di lapangan dan melaksanakan tindakan yang perlu untuk mengekang ASF daripada menular ke ladang-ladang komersial,” katanya lagi.