BELANJAWAN 2022 PEMULIHAN UNTUK SEMUA SEKTOR EKONOMI – KM HAJIJI

BELANJAWAN 2022 PEMULIHAN UNTUK SEMUA SEKTOR EKONOMI – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri menyambut baik pembentangan Belanjawan Negara 2022 oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz sebagai inklusif dan
tidak meminggirkan sektor atau sesiapaun sedang negara bergelut dengan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Belanjawan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera bernilai RM332.1 bilion itu adalah sangat besar kerana tahun depan dijangka menjadi tahun pemulihan untuk semua sektor ekonomi yang terjejas wabak itu.

“Kenaikan peruntukan kepada RM5.6 bilion untuk kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik serta pembangunan penjagaan kesihatan untuk Sabah adalah berita baik,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memerhati pembentangan Belanjawan Negara 2022 oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Zafrul Aziz…

Ketua Menteri berkata Sabah menghargai usaha dan sensitiviti berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan negeri dengan mencadangkan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Turut disambut baik ialah jaminan bahawa projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion, antaranya Lebuh Raya Pan Borneo, akan diteruskan tahun hadapan.

Projek Lebih Raya Pan Borneo antara harapan rakyat Sabah dapat direalisasikan…

Cadangan pelepasan cukai dan insentif untuk pelbagai sektor dalam Belanjawan Negara dibentangkan
oleh Menteri Kewangan saling melengkap agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya Kerajaan Sabah.

“Kami melihat Belanjawan Negara sebagai melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 dan kami mengalu-alukan cadangan peruntukan untuk Sabah tahun depan,” katanya selepas menonton pelancaran Belanjawan Negara 2022 pada petang tadi.

Hajiji juga mengalu-alukan subsidi RM209 juta yang berterusan untuk perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.

Katanya cadangan pembangunan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pagalungan Nabawan, akan sangat membantu meningkatkan keselamatan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan peruntukan RM746 juta, di mana sebahagian besar daripadanya adalah untuk 112 projek menaik taraf sekolah uzur di Sabah.

Turut melihat bersama beliau ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.