KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot pukat tunda selepas dikesan menangkap ikan tanpa lesen dan permit yang sah di perairan Kota Kinabalu semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah, bot pukat tunda terbabit ditahan oleh kapal peronda Maritim di kedudukan sekitar 11 batu nautika Tenggara Pulau Mantanani.
“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh orang kru warganegara Indonesia, lingkungan umur 21 hingga 44 tahun bekerja di atas bot tersebut, dan dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.


Sebelum itu, pemeriksaan dokumentasi yang mengesan lesen bot dan lesen perikanan telah tamat tempoh turut mendapati kru bot gagal mempamerkan lesen asal bot tersebut, selain gagal mempamerkan sijil kebenaran menggunakan peralatan radio dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Bot serta kru ditahan dan di bawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk di serahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.





