KOTA KINABALU, SABAH – Negeri Sabah terus mengorak langkah maju ke hadapan apabila memperoleh TUJUH (7) pelaburan dengan nilai keseluruhan RM4.4 bilion dalam sektor pembuatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tempoh separuh pertama tahun ini.
Pada tempoh sama, ia menjadikan Sabah negeri yang KETIGA terbesar untuk menerima pelaburan dalam negara selepas Kedah (RM42.6 bilion) dan Selangor (RM4.6 bilion).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata dalam hal ini, semua pihak mesti terus bekerjasama untuk mengekalkan momentum sambil menantikan tahun lebih produktif yang akan datang.
Mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Invest Sabah Berhad (ISB) kedua di Menara Kinabalu di sini hari ini, Ketua Menteri berkata beliau mahu melihat lebih sinergi antara agensi negeri dan persekutuan untuk mendorong kepada agenda pelaburan Sabah.
“Saya telah berkata semasa mesyuarat Lembaga Pengarah ISB yang pertama bahawa saya mahukan semua halangan pelaburan ke Sabah untuk dihapuskan kerana peraturan yang menyusahkan (red tape) yang dihadapi pelabur yang berniat baik hanya akan menjejaskan usaha menarik mereka ke Sabah…
“Oleh itu, semua mesti memainkan peranan mereka untuk menghapuskan halangan ini bagi memudahkan pelaburan,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah disediakan untuk membimbing agenda pembangunan Sabah.
“Sehingga kini, kita telah membuat kemajuan dengan menandatangani tiga projek berimpak tinggi dipandu inisiatif SMJ iaitu projek Lok Kawi Resort City, kilang kerajang tembaga dan Projek Kelapa Bersepadu dengan nilai gabungan RM10 bilion…
“Lebih banyak projek berimpak tinggi sedang menanti dan saya berharap dengan pelaburan yang datang dari dalam dan luar negara ini, Sabah dan rakyat akan mendapat manfaat yang besar,” katanya.
Hajiji juga berbesar hati apabila menyedari bahawa walaupun menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19 dalam dua tahun yang lalu, tumpuan dan keazaman negeri untuk meneruskan matlamat pembangunan tidak pernah goyah.
“Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan negatif pandemik dan merangsang semula pertumbuhan ekonomi Sabah…
“Kita yakin pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional dan pelbagai pakej rangsangan oleh Kerajaan Persekutuan akan memacu usaha dalam pemulihan ekonomi Sabah.
”Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita bergerak ke hadapan untuk melaksanakan rancangan kita,” beliau berkata.
Terdahulu, Ketua Menteri memberi penghormatan kepada mendiang Datuk Tan Kim Beng, ahli lembaga pengarah ISB yang meninggal dunia pada awal tahun ini.





