KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah meminta penduduk di kawasan risiko banjir dan tanah runtuh untuk lebih peka dan berwaspada esok.
Ini kerana ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang menyatakan akan berlaku luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia pada 27 Disember (esok).
Fenomena hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah adalah dijangkakan.
Pengarah JBPM Sabah, PKPjB Md. Ali Ismail menasihati orang ramai untuk menangguhkan hasrat aktiviti-aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
“Ia bagi mengelakkan berlakunya malapetaka di luar jangkaan,” katanya dalam sebuah kenyataan tadi.

Katanya, JBPM Sabah telah diletakkan dalam keadaan lebih bersiap siaga dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi-lokasi strategik dengan lebih awal.
“Pemantauan dibuat dari masa ke masa dan pihak kami sentiasa akan berkoordinasi dengan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk bertindakbalas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini selari dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No.20 ; Mekanisme Pengurusan Bencana di Malaysia,” tambahnya.





