Belum ‘Checkout’: Pasangan Pelancong China Dikhuatiri Lemas Di Pulau Mantanani

Belum ‘Checkout’: Pasangan Pelancong China Dikhuatiri Lemas Di Pulau Mantanani

0
SHARE

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas sepasang pelancong warga China dilaporkan hilang di Pulau Mantanani, apabila mereka gagal mendaftar keluar dari resort pada Ahad.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.25 pagi daripada Balai Polis Kota Belud yang memaklumkan dua pelancong berkenaan.

Individu lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 28 tahun terbabit tidak kelihatan sejak tarikh daftar keluar pada 5 Oktober.

Pasangan itu dilaporkan menginap di Sutera Mantanani Resort pada 4 Oktober, namun barangan peribadi mereka masih berada di dalam bilik, menimbulkan kebimbangan kemungkinan mereka lemas.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi mencari di sekitar pesisir pulau menggunakan kaedah permukaan air.

“Operasi dihentikan sementara pada jam 6 petang Isnin dan akan disambung semula esok,” kata seorang pegawai jurucakap agensi.