KUALA LUMPUR: Aktivis dan ahli perniagaan, Albert Tei, memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya, Edward Paul dari firma Chin Jingulam Associates, Kota Kinabalu, untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut Tei, permohonan itu dibuat berhubung dakwaan bahawa Hajiji telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Imigresen Sabah supaya menghalangnya memasuki negeri itu pada 22 September bagi menghadiri sebutan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu keesokan harinya.
“Saya sebagai defendan sepatutnya hadir ke mahkamah bagi proses perundangan yang sedang berjalan.
“Sekatan seperti ini boleh menjejaskan hak saya untuk membela diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap proses siasatan dan pendakwaan kes melibatkan beberapa individu lain yang masih berjalan.
Albert menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapat akses kepada keadilan dan sebarang halangan ke atas urusan mahkamah wajar disemak semula bagi memastikan integriti sistem perundangan terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor berhubung perkara tersebut, dan peguamnya akan memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Hajiji dalam tempoh 10 hari.






