JCC Di Bawah MKMA63 Tubuhkan Jawatankuasa Teknikal Kaji Cadangan Pemberian Geran Tahunan...

JCC Di Bawah MKMA63 Tubuhkan Jawatankuasa Teknikal Kaji Cadangan Pemberian Geran Tahunan Sabah

0
SHARE

PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Teknikal akan ditubuhkan oleh Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) di bawah Perjanjian Majlis Khas Malaysia 1963 (MKMA63) untuk mengkaji cadangan pemberian geran-geran tahunan Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, jawatankuasa teknikal itu juga akan meneliti tawaran balas Kerajaan Persekutuan kepada cadangan Sabah.

Bercakap selepas mesyuarat pertama Perjanjian Persekutuan-Sabah Malaysia 1963 (MA63) JCC mengenai geran tahunan, di sini semalam, Dr Maximus berkata mereka turut membincangkan terma dan rujukan mengenai isu berkaitan geran khas bagi Sabah.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun, memberikan hujah berkenaan semakan semula geran tahunan dalam rayuan untuk pembayaran balik segera tuntutan yang wajar kepada kerajaan negeri Sabah.

Menurut Maximus, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan tawaran balas namun ianya masih belum boleh didedahkan.

“Bagaimanapun, dalam mesyuarat selama dua jam itu, kami bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal untuk mengkaji secara terperinci cadangan Negeri dan tawaran balas oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa itu berharap beberapa kesimpulan dapat dicapai berhubung tuntutan tersbut sebelum mesyuarat MKMA63 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada bulan depan.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Rusdin Musidi Riman dan mantan Peguam Besar Sabah, Brenndon Soh.