KEMENTERIAN DIMINTA SERAH KAD LAPORAN PENCAPAIAN TAHUNAN SMJ – KM HAJIJI

KEMENTERIAN DIMINTA SERAH KAD LAPORAN PENCAPAIAN TAHUNAN SMJ – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahukan Laporan Status Pelaksanaan dan Pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya laporan itu akan dibentangkan setiap tahun oleh setiap kementerian negeri mulai pada Mac 29 tahun ini.

“Saya berharap semua agensi kerajaan bersedia untuk memberikan laporan mengenai status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif di bawah bidang kuasa masing-masing…

“Saya juga mahu agensi Persekutuan di Sabah membentangkan perancangan dan status mereka program serta projek yang sedang dilaksanakan untuk tatapan rakyat.

“Kita juga perlu menganjurkan Hari Terbuka untuk membolehkan orang ramai mendengar, melihat dan merasai maksud dan nilai Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hajiji berkata hari itu penting di atas pegangan teguh kepada prinsip bahawa nilai kejayaan agenda pembangunan kerajaan bukan perlu dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Katanya petunjuk ekonomi awal telah menunjukkan bahawa Sabah berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi negeri malah mencatatkan hasil sebanyak RM5.449 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021.

Dalam ucapannya semasa Perhimpunan Perkhidmatan Awam Negeri di SICC hari ini Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata kunci kejayaan agenda pembangunan adalah komitmen pasukan.

“Sebagai pemimpin Kerajaan dan Negeri, saya memerlukan pasukan yang memahami sepenuhnya maksud hala tuju pembangunan negeri…

“Penerimaan dan kebersamaan adalah asas, manakala terasnya ialah komitmen dan kemahuan untuk bekerja dan mencapai matlamat bersama,” katanya.

Beliau berkata penyebaran COVID-19 menjadi kritikal selepas Pilihan Raya Negeri pada Sept 2020 yang memerlukan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil langkah segera untuk merangka strategi pemulihan ekonomi Sabah.

Enam bulan selepas mengambil alih tampuk pimpinan Kerajaan Negeri, Kerajaan GRS melancarkan Hala Tuju SMJ pada 29 Mac 2021, untuk melakarkan pembangunan Sabah bagi lima tahun akan datang.

“Kejayaan pelan pembangunan ini bergantung kepada penerimaan, perpaduan, komitmen dan kemahuan rakyat serta kakitangan perkhidmatan awam sebagai pemegang kepentingan utama,” katanya.

Sebagaimana lambang negeri adalah milik semua rakyat Sabah, beliau berharap semua orang menerima bahawa mereka menuju ke arah yang sama melalui SMJ.

“Pada masa sama, saya yakin semua faham bahawa Sabah yang progresif dan berjaya adalah penting untuk Malaysia secara keseluruhan…

“Pertumbuhan ekonomi negeri mempunyai kesan langsung kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebagai wilayah penting, kemajuan Sabah akan memperkukuh Persekutuan Malaysia,” katanya. Hajiji berkata Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi keperluan pembangunan Sabah seperti yang dicita-citakan oleh rakyat.

“Komitmen Kerajaan Persekutuan dizahirkan melalui tindakan menyelesaikan perkara berbangkit daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini.

“Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri dan Petronas pada 7 Disember tahun lalu juga disebabkan kemahuan politik Kerajaan Persekutuan untuk memberi Sabah lebih suara, penyertaan dan hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Menrut beliau, kurang sebulan selepas itu, hasilnya dapat dilihat melalui pelancaran Pelan Induk Gas Sabah, manakala Petronas telah mula menunaikan tanggungjawabnya dengan membayar Cukai Jualan Negeri ke atas produk Petroleum, katanya.

“Alhamdulillah, dengan hasil kerjasama dan strategi yang berkesan, hari ini Kerajaan GRS telah berjaya merealisasikan aspirasi rakyat,” katanya.

“Hakikatnya perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada kejayaan, bermakna kemahuan politik mesti disusuli dengan pelaksanaan yang memerlukan sokongan daripada kakitangan perkhidmatan awam,” tambah beliau.

Bagi tujuan ini, Ketua Menteri yakin bahawa di bawah semangat Keluarga Malaysia, 20,363 kakitangan persekutuan dan 103,030 kakitangan perkhidmatan awam Sabah mampu memastikan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya berjaya.