KOTA KINABALU, SABAH – Demam babi Afrika (ASF) tidak mengundang risiko kesihatan kepada manusia dan tidak boleh saling berjangkit.
“Virus ini tidak berbahaya kepada manusia tetapi berpotensi melumpuhkan industri daging babi kita…
“Jika tiada tindakan diambil untuk membendung penularannya,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata pengguna tidak perlu bimbang tentang keselamatan daging babi yang dijual di pasaran tempatan.
Walaupun terdapat penemuan virus ASF di sepuluh daerah dengan yang terbaharu di Penampang, sebahagian ladang babi komersial di Sabah setakat ini terhindar daripada jangkitan dan produk mereka telah diisytiharkan bebas ASF dan selamat untuk dimakan.
“Saya sedar tentang banyak khabar angin yang tersebar di media sosial yang mendakwa semua daging khinzir Sabah dijangkiti ASF dan pengguna harus mengelakkan daging babi kerana berbahaya kepada kesihatan. Ini tidak benar…
“Di Sabah, babi disembelih di rumah penyembelihan sah Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum dijual di pasaran. Semua babi akan diperiksa untuk ASF dan penyakit lain sebelum disembelih.
“Sampel akan diambil untuk pengawasan jika perlu. Setakat ini, jabatan itu tidak menemui babi yang dijangkiti ASF di mana-mana pusat penyembelihan di Sabah,” jelasnya dalam kenyataan.
Beliau berkata pengguna mungkin mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai ASF daripada pejabat DVS di semua daerah seluruh Sabah.
Sementara itu, Jeffrey memberi jaminan kepada pengguna bahawa bekalan daging babi Sabah akan mencukupi untuk memenuhi permintaan terutamanya semasa Tahun Baharu Cina akan datang.





