PETER LANCAR PARTI BAHARU TANPA NAMA, TETAPI TETAP SOKONG GRS

PETER LANCAR PARTI BAHARU TANPA NAMA, TETAPI TETAP SOKONG GRS

0
SHARE

TENOM, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony hari ini melancarkan parti baharunya tanpa nama.

Katanya ia kerana parti berbilang bangsa berasaskan kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) tersebut masih dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Bekas Naib Presiden Warisan itu menjelaskan bahawa partinya memang sudah diluluskan, namun beberapa kesulitan teknikal melambatkan proses pendaftaran yang dijangka selesai dalam DUA (2) minggu akan datang.

“Nama parti belum ada lagi, nanti saya umum dalam masa terdekat. Bila semua selesai, kita akan buat mesyuarat agung tahunan diikuti beberapa siri ‘roadshow’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Santai Bersama Masyarakat dan ‘Soft-Opening’ parti baharunya di Dewan Sri Antenom Hall di sini, petang tadi.

Peter Anthony berucap dalam Program Santai Bersama Masyarakat dan ‘Soft-Opening’ parti baharunya di Dewan Sri Antanom, Tenom hari ini (28 Jan)…

Sebahagian individu yang hadir dalam program santai bersama masyarakat bersama Peter Anthony di Dewan Sri Antanom, Tenom hari ini (28 Jan)…

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nutim sebagai Naib Presiden ‘Pro-Team’ kepada parti baharu berkenaan.

Untuk rekod, Juil bersama Peter keluar Warisan pada 28 Disember tahun lalu.

Peter Anthony mengumumkan keluar parti WARISAN Sabah dalam sidang media pada 28 Dis 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)…

Menurut laporan The Star, beberapa risalah yang tertulis Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia diedarkan pada majlis tersebut.

Sementara itu, Peter terus menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Saya ingat mereka faham kerana niat kita untuk bekerjasama dengan pimpinan di peringkat negeri Sabah dan begitu juga pemimpin negeri ini,” katanya.

Beliau turut mendakwa ketika dalam Warisan, wujud beberapa ahli yang cuba menjatuhkannya namun itu sudah pada masa lalu dan sekarang beliau hanya mahukan terus bekerja untuk rakyat.

Dalam pada itu, Peter terus menafikan meninggalkan Warisan untuk terlepas daripada dakwaan pemalsuan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah.