PUTATAN, SABAH – Orang ramai terutamanya yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di negeri ini disarankan mengambil langkah komprehensif dalam memastikan jangkitan COVID-19 terus berjaya dilandaikan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan perlu diamalkan bagi mengelakkan penularan pandemik berkenaan.
“Bersempena Tahun Baharu Cina 2022 ini, suka saya mengingatkan dalam kita merasa gembira meraihkannya, jangan lupa untuk mematuhi SOP yang digariskan oleh kerajaan…
“Ini adalah untuk kita sama-sama membendung jangkitan COVID-19 yang masih ada dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan program menyantuni peniaga dan masyarakat Tiong Hua di sekitar Pekan Putatan dan Pekan Taman Jumbo, Putatan, hari ini.


Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata, program tersebut dalam masa sama turut memberikan peluang ikatan silaturahim melibatkan masyarakat setempat.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan Tanjung Keramat turun ke kawasan kedai dan juga perumahan, untuk mengagihkan buah limau mandarin kepada masyarakat kita bersempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina…
“Saya sempat bertemu dengan masyarakat yang ada di sekitar untuk mendengar dan melihat keadaan sekeliling,” katanya.





