PUTRAJAYA – Kerajaan tidak membuat pusingan U berhubung pengumuman tidak akan mengapungkan harga ayam di pasaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang dipetik Bernama berkata, keputusan dibuat berdasarkan pandangan pihak berkepentingan terutamanya seluruh Keluarga Malaysia.
“Keputusan (tidak diapungkan harga ayam) dibuat setelah mendengar pandangan rakyat…
“Keputusan ini beri kebaikan kepada rakyat, bukan pusigan U. Kita buat untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Hari Rekreasi Putrajaya (HRP) 2022 dan Karnival Jom Heboh Putrajaya di Anjung Floria di sini semalam (25 Jun).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan parti pembangkang bahawa keputusan tersebut bersifat pusingan-U.
Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri mengumumkan harga ayam tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam masa terdekat.
Dilaporkan, MAFI akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pemain industri penternakan ayam bagi membincangkan isu berkaitan bekalan dan harga siling baharu ayam di pasaran, semalam.
Mengenai program HRP 2022, Ismail Sabri berkata ia merupakan perhimpunan keluarga yang besar selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada Oktober tahun lepas.
“Saya pun teruja ketika sampai, mungkin kerana saya lihat orang begitu ramai bukan sahaja sekitar Kuala Lumpur tetapi juga ada dari Negeri Sembilan, Perak dan Pahang,” katanya.





