KOTA KINABALU, SABAH – Kesemua pergerakan 14 penerbangan berlepas dan 22 ketibaan tidak diganggu gangguan bekalan kuasa elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang dialami 4.45 petang semalam.
Pemangku Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Kamaruzzaman Razali berkata, pengendali lapangan terbang itu amat kesal dengan kejadian itu.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami tetamu lapangan terbang dan rakan kongsi runcit kami semasa gangguan bekalan elektrik.
“Pasukan teknikal lapangan terbang segera dikerahkan untuk menyelesaikan masalah dan mereka bekerja tanpa henti dengan kontraktor untuk memulihkan bekalan kuasa utama…
“Pada masa ini, kami juga telah mengerahkan tenaga kerja tambahan ke kawasan yang terjejas untuk memastikan keselamatan penumpang yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bekalan kuasa di telah dipulihkan sepenuhnya pada jam 3.20 pagi tadi selepas penerbangan terakhir berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 12.40 pagi.
Difahamkan gangguan kuasa berlaku semasa kerja-kerja migrasi bekalan kuasa yang dijalankan oleh kontraktor lapangan terbang dan telah menjejaskan kawasan tertentu terminal sahaja.
Pemprosesan penumpang di terminal dapat berjalan seperti biasa berikutan ketersediaan bekalan elektrik alternatif yang disediakan oleh beberapa set penjana untuk operasi penting.
Kamaruzzaman berkata operasi penerbangan seperti mendarat, dan berlepas tidak terjejas dan tiada berlakunya kelewatan penerbangan.
“Malaysia Airports kekal komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan menyenangkan di rangkaian lapangan terbangnya dan akan terus meletakkan keselamatan dan keselesaan penumpang sebagai keutamaan,” tambahnya.





