MOSCOW, RUSSIA – Tentera Russia mendakwa berjaya menguasai bandar Kherson di selatan Ukraine semalam, ketika pencerobohan Russia di negara pro-Barat itu memasuki hari ketujuh.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov yang dipetik AFP mendakwa susulan penguasaan itu, perkhidmatan awam dan pengangkutan kekal beroperasi seperti biasa.
“Angkatan tentera Russia sudah menguasai penuh wilayah pusat Kherson, bandar ini tidak mengalami sebarang kekurangan bekalan makanan dan barangan keperluan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen.
Konashenkov berkata, rundingan sedang berjalan antara tentera Russia dan pihak berkuasa tempatan bagi mengekalkan ketenteraman, melindungi penduduk dan memastikan perkhidmatan awam berfungsi.
Datuk Bandar Kherson, Igor Kolykhaiev, menerusi Facebook berkata: “Kami masih Ukraine. Kekal utuh”.
Kenyataan beliau juga dilihat bertentangan dengan Konashenkov, apabila memaklumkan pihaknya sedang mencari jalan untuk ‘mengumpul mayat’ dan ‘memulihkan bekalan elektrik, gas, air dan pemanasan yang mengalami kerosakan’.
Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan tenteranya menceroboh Ukraine untuk menyerang ‘aset ketenteraan’ dan ‘nazi’ di Ukraine.
Menurut Konashenkov, tentera Russia sudah merosakkan lebih 1,500 fasiliti ketenteraan di Ukraine setakat hari ini, selain 58 pesawat, 46 dron dan 472 kereta kebal serta kereta perisai dimusnahkan.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata delegasi Russia sedia meneruskan rundingan kedua dengan delegasi Ukraine petang ini.
Katanya, pembantu Putin, Vladimir Medinsky, akan kekal sebagai ketua delegasi tetapi tidak memaklumkan di mana rundingan kali kedua akan diadakan.





