Kestabilan Politik Sabah Perlu Untuk Kekalkan Momentum Pembangunan Dan Pelaksanaan MA63

Kestabilan Politik Sabah Perlu Untuk Kekalkan Momentum Pembangunan Dan Pelaksanaan MA63

0
SHARE
Ewon
Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick ketika mengadakan sesi program walkabout di Tamu Mingguan Taginambur di Kadamaian Square (Sumber Foto: Ihsan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi)

KOTA BELUD – Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata kestabilan kepimpinan politik di Sabah adalah mustahak bagi mengekalkan momentum pembangunan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sebarang usaha untuk menggulingkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bakal merencatkan momentum yang sedang dibina bersama dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dengan kerjasama banyak pihak, Hajiji telah memastikan perolehan hasil Sabah lebih daripada enam billion pada tahun lepas.

“Ini penting supaya rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan seterusnya pembangunan infrastruktur yang perlu diperkasakan dan dilipat-gandakan dengan pendekatan pembaharuan tata kelola.

“Dalam masa yang sama, dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di Persekutuan, agenda untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia merupakan antara keutamaan kerajaan berdasarkan kekerapan perbincangan jemaah menteri mengenainya.

“Ini termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan kerajaan negeri Sabah bagi melaksanakan perolehan terus projek-projek bernilai RM50 juta ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas sesi program ‘walkabout’ di Tamu Mingguan Taginambur di Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ewon turut berkata beliau juga telah mengenai pendekatan formula pemberian khas berdasarkan pungutan hasil persekutuan di Sabah.

Mengulas lanjut, Ewon menyatakan rakan sejawatnya, Datuk Armizan sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan mengadakan dengan peguam Sabah Law Society dan Pakatan Harapan (PH) dalam masa yang terdekat untuk membincangkan lebih lanjut mengenai formula ini.

“Kelmarin saya juga telah membincangkan perkara ini dengan Hajiji. Saya berpendirian momentum ini perlu dikekalkan dan tidak seharusnya digugat oleh sebarang cubaan menggulingkan beliau sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian juga memberitahu ADUN Pakatan Harapan (PH) telah membuat ketetapan konsensus kelmarin untuk tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan Ketua Menteri yang telah mengangkat sumpah selepas proses pilihanraya.

“Ketua Menteri telah mengangkat sumpah selepas proses pilihan raya dan kerajaannya telah dibentuk.

“Sebelum ini ADUN-ADUN PH Sabah telah menyatakan sokongan agar Hajiji terus menjadi Ketua Menteri sehingga habis penggal ini.

“Kami kekal dengan pendirian ini kerana sebarang usaha menggulingkan beliau selepas mengangkat sumpah merupakan rundingan “pintu belakang” yang sepatutnya tidak dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam tempoh tiga tahun dan parti-parti politik boleh mengambil bahagian dan seterusnya berunding mengenai penubuhan kerajaan pada masa itu, bukannya pada masa ini.

“Itulah sebabnya ADUN-ADUN PH kekal dengan pendirian menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal ini,” katanya.