55 Pegawai Teknikal Terima Watikah Pelantikan

55 Pegawai Teknikal Terima Watikah Pelantikan

0
SHARE
Armizan
Armizan (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada pegawai CoS baharu yang dilantik ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 55 orang Pegawai Teknikal Lantikan Secara Kontrak (CoS) berjawatan Jurutera J41 dan Penolong Jurutera JA29 menerima watikah pelantikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Ali berkata, lantikan 27 Jurutera Gred J41,19 Penolong Juruukur Bahan dan sembilan Penolong Jurutera (Elektrik) Gred JA29 adalah bagi memperkasakan fungsi serta peranan pejabat daerah di seluruh negara.

“Pengukuhan unit teknikal pejabat-pejabat daerah dengan penempatan pegawai teknikal melalui lantikan secara CoS ini diharap dapat menambah baik sistem penyampaian kerajaan sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan projek-projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.

“Program rintis melalui pelantikan kontrak selama tiga tahun ini memberikan peluang dan pengalaman kerja untuk para belia tempatan yang berkelayakan dalam bidang teknikal kejuruteraan awam, ukur bahan serta elektrik,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Amanat dan Penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Lantikan Secara Kontrak Jurutera J41 dan Penolong Jurutera JA29 di sini, pada Isnin.

Sementara itu, mengulas insiden yang tular di media sosial berkenaan dakwaan beras plastik yang berlaku di Sandakan, Armizan memberi jaminan perkara tersebut akan disiasat dengan terperinci.

“Saya mengambil maklum akan perkara ini dan meneliti secara dekat bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan dan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras.

“Setakat ini siasatan dibuka menggunapakai Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan dan Akta Perlindungan Pengguna dan kita akan pastikan dakwaan ini disiasat dengan teliti kerana ia melibatkan kepentingan rakyat khususnya isu kesihatan,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pemantauan dan Penilaian Pembangunan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Toisin Gantor, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin dan Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, Samsul Dollah. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ