UMSKAL, PPZ-MAIWP Dan Bank Rakyat Lancar Projek Bantu Usahawan Asnaf Di Labuan,...

UMSKAL, PPZ-MAIWP Dan Bank Rakyat Lancar Projek Bantu Usahawan Asnaf Di Labuan, Jihad Pendidikan

0
SHARE
Ums
Penyampaian 'mock-cheque' di antara Pusat Pungutan Zakat – MAIWP, Bank Rakyat dan UMSKAL ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Wilayah Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Bank Rakyat telah mengadakan Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneur Bank Rakyat, di Menara UMSKAL, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata kerjasama tersebut dapat memberi manfaat kepada para usahawan asnaf di sekitar Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, bimbingan dan pantauan khas kepada para usahawan akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah FKAL yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan projek-projek keusahawanan bersama industri.

“Saya mewakili pihak pengurusan tertinggi UMS berasa amat berbesar hati dengan kerjasama ini yang dilihat berjaya mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZ-MAIWP, Bank Rakyat dan UMSKAL.

“Pada kesempatan ini, FKAL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPZ-MAIWP atas sumbangan tajaan makanan untuk 400 pelajar asnaf di samping sumbangan bank makanan kepada kolej kediaman UMSKAL,” tambahnya.

Dalam majlis sama, turut diadakan Pelancaran Program Jihad Pendidikan @ UMSKAL yang bertujuan memperluas dakwah zakat dalam kalangan pelajar dan pekerja insititusi pendidikan tinggi.

Melalui program ini juga PPZ-MAIWP melalui dana wakalah menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar asnaf UMSKAL dan Food Bank UMSKAL dengan jumlah masing-masing RM14,000 dan RM10,000, menjadikan sumbagan keseluruhan adalah berjumlah RM24,000.

Majlis perasmian Projek Asnafpreneur tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak manakala Jihad Pendidikan dirasmikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.