Siasat Sumber Kos Guaman Waris Sultan Sulu – Yong

Siasat Sumber Kos Guaman Waris Sultan Sulu – Yong

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, menggesa pihak kerajaan untuk menyiasat sumber dana kos guaman tuntuan Waris Sultan Sulu yang sudah tentunya mencecah kos berjuta ringgit.

Katanya waris tersebut tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan usaha undang-undang antarabangsa.

“Setelah mengetahui identiti pembayar yuran dan kos guaman, kerajaan akan mempunyai identiti pesalah yang mendorong keturunan Kiram meneruskan tuntutan terhadap Sabah,” katanya…

Penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa telah mengarahkan kerajaan Malaysia membayar anugerah RM62.5 bilion ketika perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis beberapa hari lalu.

Beliau berkata kerajaan persekutuan dan Sabah harus bersungguh-sungguh melaksanakan kempen yang konsisten bagi menentang implikasi politik dan ancaman keselamatan daripada tuntutan Filipina atau Sulu ke atas Sabah.

Katanya, penganugerahan mengikut keputusan timbang tara tidak berasas dan tidak akan mempunyai kesan undang-undang sama seperti perbicaraan tribunal berat yang dibawa oleh kerajaan Filipina terhadap China berhubung isu Laut China Selatan.

Jelasnya, selepas kemangkatan Sultan Sulu terakhir tanpa waris lelaki pada 1930-an, Filipina mengisytiharkan bahawa Kesultanan Sulu sudah berakhir.

“Latar belakang inilah yang membawa kepada kes mahkamah Dayang-Dayang (anak perempuan Kiram) terhadap Kerajaan Borneo Utara dan lain-lain (1939) di mahkamah di Sandakan,” katanya.

“Jadi, jika keturunan Kiram ingin menuntut, mereka harus menuntut terhadap kerajaan Filipina mereka sendiri.

“Tuntutan Filipina terhadap Sabah satu tindakan sia-sia kerana percubaan mereka dibuang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (Mahkamah Dunia) dalam penghakiman pada 23 Oktober 2001,” katanya.