KOTA KINABALU: Real Beauty (RB) mengubah nama pertandingan ratu cantik ‘Unduk Ngadau Real Beauty’ kepada ‘Miss Kaamatan-Arby Products Model Search’ setelah menerima kritikan berhubung penggunaan istilah Unduk Ngadau.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Rejanah Bahanda menegaskan bahawa tujuan pertandingan itu semata-mata untuk mencari wajah baharu bagi barisan produk Arby.
Katanya nama pertandingan itu telah pun ditukar bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham.
“Real Beauty Unduk Ngadau tidak merujuk kepada kecantikan sebenar peserta tetapi menggunakan nama syarikat kami sendiri iaitu Real Beauty Sdn Bhd,” jelasnya dalam kenyataan hari ini…
Beliau berkongsi bahawa syarikat kecantikan itu akan menjalankan acara itu secara profesional dengan memfokuskan kepada pakaian tradisional serta etika peserta yang terbaik.
Rejanah yang juga pengasas RB berkata beliau tidak berniat dalam sedikit pun untuk merampas kepentingan nama Unduk Ngadau daripada platform peringkat negeri.
“Kami menghormati kepentingan gelaran itu dan kebaikan yang dikait rapat dengannya,” tegasnya…
Beliau berkongsi bahawa peserta RB Miss Kaamatan-Arby Products Model dikehendaki memakai pakaian tradisional, bercakap dalam bahasa ibunda dan mempunyai pengetahuan tentang latar belakang tradisi mereka.
“Walaupun pemenang akan dijemput ke sesi penggambaran berbayar pada masa hadapan, mereka tidak akan didedahkan kepada perkara yang tidak senonoh atau pakaian yang tidak sesuai,” katanya sambil menambah bahawa acara tersebut akan dijalankan sepenuhnya secara atas talian (online).
Miss Kaamatan-Arby Products Model Search akan dilancarkan oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag pada 7 Mei.
Beberapa hari selepas pengumuman pertandingan Unduk Ngadau Real Beauty pada minggu lalu, pengerusi pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah, Joanna Kitingan, mengumumkan istilah ‘Unduk Ngadau’ itu telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Katanya, istilah itu masih disalahgunakan oleh pihak-pihak penganjur swasta dan mengambil tindakan itu “bagi melindungi pertandingan budaya itu daripada disalahgunakan seperti sebelum ini”.





