LAHAD DATU, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) mengagalkan hasrat sindiket penyeludupan minyak petrol pasaran gelap Pantai Timur Sabah di perairan Kg Bakarat, sini, pada Isnin lalu.
Kejayaan tersebut hasil daripada rondaan OP PASIR Sektor Delta yang dilaksanakan Tim Ronda Pos Tungku yang berkekuatan seramai lapan anggota pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, tim ronda berkenaan menjumpai tiga buah lori tangki minyak yang tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berhampiran pantai Kampung Bakarat kira-kira jam 11.30 pagi.
“Kesemua lori tersebut dalam keadaan mencurigakan kerana menggunakan laluan lain untuk membawa barang kawalan…
“Turut mencurigakan pasukan keselamatan adalah kemunculan sebuah Kapal Tongkang yang bersauh tidak jauh dari lokasi kejadian dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati sindiket tersebut terdiri daripada lima warganegara Malaysia dan seorang warganegara Filipina serta kesemua suspek berusia antara 23 tahun hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kesemua suspek tersebut ditahan beserta kenderaan dan barang rampasan untuk dibawa ke Balai Polis Tungku.
Abdul Karim berkata hasil pemeriksaan awal terhadap lori tersebut mendapati lori tersebut membawa 20,000 liter minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM 150,500 setiap lori.
“Turut ditahan bersama lori adalah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux…
“Kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran khas manakala Tim Ronda Pos Tungku turut mendapati kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa minyak petrol seludup dari Lahad Datu ke Filipina,” jelasnya.
Tambahnya, Pusat Operasi ESSCOM ketika dihubungi mengesahkan bahawa tiada jadual ulang bekal minyak di Pos Merabung.
“ESSCOM telah mengkoordinasikan anggota polis daripada Balai Polis Tungku bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu proses penahanan.
“Sebuah bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) telah bergerak menuju ke lokasi kapal tongkang bersauh, namun kapal tesebut telah bergerak dari lokasi ditemui dan seterusnya hilang dari pemantauan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati nilai rampasan bagi 60,000 liter minyak petrol adalah dianggarkan bernilai RM 624,000…
“Tiga buah kenderaan lori tangki dianggarkan bernilai RM 400,000 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM 128,000.
“Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM 1,152,000,” kata Abdul Karim.
Kesemua suspek telah ditahan reman di Balai Polis Tungku untuk siasatan mengikut Akta Bekalan 1961.





