SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi di perairan Semporna sekitar jam 9.30 pagi kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, rampasan dibuat berikutan pengesanan oleh bot peronda Maritim Malaysia terhadap sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Kulapuan.
“Semasa dirapati, tekong bot telah bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran…
“Pemeriksaan ke atas bot menemui lebih kurang 340 paket minyak masak
dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, dua unit enjin pam dan 340 paket minyak masak bernilai lebih kurang RM5,350,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini…
“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut,” tambahnya.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.





