Jawatankuasa Penyelaras GRS Sepanggar Ditubuhkan

Jawatankuasa Penyelaras GRS Sepanggar Ditubuhkan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jawatankuasa Penyelaras Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen P.171 Sepanggar telah ditubuhkan secara rasmi apabila Mesyuarat Jawatankuasa dijalankan buat pertama kalinya di Ibu Pejabat GRS, Alamesra, sini.

Penyelaras Parlimen GRS P.171 Sepanggar, Ardino Diris dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan mesyuarat pertama tersebut merupakan satu sejarah dalam mengorak langkah pertama untuk memastikan GRS Parlimen Sepanggar siap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum yang bakal tiba.

“Hari ini, semua pemimpin parti komponen iaitu daripada Bersatu, PBS, Star, SAPP dan USNO disatukan dalam Jawatankuasa ini untuk memastikan GRS bersedia bertanding di Parlimen Sepanggar,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, soal siapa yang dicalonkan semasa Pilihan Raya Umum nanti seharusnya disokong dan meminta semua Ahli Jawatankuasa Parlimen GRS Sepanggar menyokong apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh pucuk kepimpinan GRS Pusat melalui kepimpinan Ketua Menteri Sabah, termasuklah kemungkinan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Bersatu Sepanggar, Datuk M Razali M Razi yang seterusnya dilantik sebagai Timbalan Penyelaras, Ketua Bahagian PBS Karambunai, Datuk Johnny Goh, dilantik sebagai Timbalan Penyelaras, Ketua Bahagian USNO Sepanggar, Tuan Ibrahim Linggam, juga dilantik sebagai Timbalan Penyelaras.

Turut dilantik ialah Jackerson Ng sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Parlimen GRS Sepanggar, manakala Datuk Arsad Idris, Fradolin Totin, Hajah Zaitun Kasim, Nani @ Maznah Pirin, Md Yasir Yasin, Frankie Chiung, Laliman Kemad dan Jeffrey Kumin sebagai Ahli Jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan menggalas tugasan-tugasan tertentu.

Ketua Wanita dan Ketua Pemuda sudah dikenal pasti berserta Ketua Penerangan dan Bendahari dan akan diumumkan di kemudian hari…

SAPP yang juga parti komponen GRS baru sahaja selesai dengan Mesyuarat Tahunan Pusat mereka dan calon-calon yang dipilih oleh kepimpinan pusat SAPP untuk mengetuai setiap kawasan DUN dibawah parlimen Sepanggar akan diserapkan kedalam Jawatankuasa Penyelaras Parlimen GRS Sepanggar kelak setelah penjawat tersebut dilantik.