PELAKON TERKENAL TANAH AIR RIDZUAN HASHIM MENINGGAL DUNIA

PELAKON TERKENAL TANAH AIR RIDZUAN HASHIM MENINGGAL DUNIA

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Ridzuan Hashim, 62, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi tadi.

Memetik sumber Berita Harian, pemergian aktor yang dikenali sebagai watak King dalam filem KL Gangster itu disahkan bekas isteri, pelakon Didie Alias menerusi laman sosial, Instagram (IG) sekitar jam 2.50 petang ini.

“Saya mahu beritahu pada semua sahabat yang mengenali bekas suami, Ridzuan Hashim sudah kembali ke rahmatullah.

“Pada sesiapa yang ingin melawat jenazah, arwah masih berada di HKL. Saya akan kemas kini maklumat di mana arwah akan dikebumikan.

“Saya mohon pada semua yang masih ada hutang bersama arwah boleh terus menghubungi saya dan ampunkan beliau,” katanya menerusi hantaran video berdurasi 49 saat.

Sementara itu, pelakon Iman Zulkarnain yang juga merupakan anak saudara arwah Ridzuan itu berkata, bapa saudaranya meninggal dunia ketika sedang bersarapan dengan anaknya di rumah.

“Arwah meninggal dunia di rumahnya di Bandar Tun Razak antara jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari ketika sedang bersarapan dengan anaknya.

“Dia jatuh dari kerusi makan dan anaknya terus membawa ke hospital. Bagaimanapun, arwah sudah pun menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Iman memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Ridzuan memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai model iklan komersial, seterusnya mengembangkan bakat dalam dunia lakonan apabila ditawarkan membintangi dalam drama Adam & Hawa siaran TV1 pada 1986.