15000 Orang Meriahkan Sabah Moto Day 5.0

15000 Orang Meriahkan Sabah Moto Day 5.0

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 15,000 orang berkumpul dalam Perhimpunan Belia Permotoran Dua Roda Sabah Moto Day 5.0 (SMD5) 2022.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengunjung yang datang adalah dari Sabah, Brunei Darussalam, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia.

“Semangat begini yang kita mahukan dan saya kagum melihat sokongan yang diberikan oleh semua peserta tidak kira tua atau muda tetap bersama-sama hadir pada hari ini. 

“Pelaksanaan perhimpunan ini merupakan satu program permotoran terbesar yang dinanti-nantikan oleh para belia Sabah dan negeri jiran…

“Sesungguhnya perhimpunan kali ini mencerminkan sinergi atau kesepakatan di peringkat anak-anak belia tempatan pada masa kini,” katanya semasa merasmikan SMD5 yang diadakan di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. 

Selain itu, Hajiji turut mengingatkan supaya semua peserta agar sentiasa berhati-hati di jalan raya. 

Pada majlis itu, Nizam turut mewakili Ketua Menteri menyampaikan Anugerah Khas Lelaki Kental kepada Abdul Qahhar dan penyerahan Sijil Penghargaan kepada Sahabat Belia.

Turut berlangsung, Taklimat Bahaya Dadah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Sabah (AADK) dan Ceramah Samseng Jalanan  oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut berlangsung. 

Hadir sama, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abelan, Timbalan Pengarah AADK Negeri Sabah, Kartina Ujin dan Pengerusi Penganjur SMD5, Rudhi Hariyanto Ghazali.