Maut Mangsa Langgar Lari Di Sinsuran

Maut Mangsa Langgar Lari Di Sinsuran

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pejalan kaki ditemui maut di Jalan Tun Razak berhampiran restoran Maimunah Sinsuran, pagi tadi dipercayai mangsa langgar lari.

Membuat penemuan pada kira-kira 1.20 pagi itu ialah seorang penunggang motosikal yang sedang bergerak menghala ke arah Jesselton Point.

Pihak polis telah mengenal pasti identiti mangsa lelaki berusia 41 tahun, berbangsa Melayu dan beralamat di Putatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata masih tiada maklumat berkenaan kenderaan yang melanggar.

“Siasatan awal dilokasi mendapati, si mati telah ditemui terbaring di lorong kiri jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di bahagian kepala oleh seorang penunggang motosikal yang ketika itu melalui jalan tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan keatas mangsa pejalan kaki itu, disyaki si mati telah dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis dan nombor pendaftaran tidak diketahui kerana si mati mengalami kecederaan parah dibahagian kepala berkemungkinan akibat kesan hentakkan oleh objek keras dibahagian muka dan kepala. 

“Terdapat kesan lurus diatas jalan raya pada lorong sebelah kiri disyaki kesan brek sebuah kenderaan,” katanya…

Beliau berkata siasatan akan diteruskan bagi mengesan kenderaan yang terlibat.

“Orang ramai yang ada maklumat tentang kes ini sila hubungi Peg Penyiasat kes Insp Muhammad Amirul Azri Zainal atau ke balai polis terdekat,” tambah Zaidi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan membahayakan.